
BAGAIMANAKAH keadaan di syurga dan neraka? Perkara itu diperlihatkan Allah kepada Rasulullah SAW dalam perjalanan Israk Mikraj. Baginda memasuki syurga dengan diiringi Jibril serta melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di hati manusia.
Sesungguhnya syurga itu ada lapan jenis. Tiba-tiba, Rasulullah ternampak beberapa kubah lu'lu' yang ternganga dan Baginda terlihat pada pintu syurga tertulis ayat berbunyi: “Sedekah itu adalah 10 kali ganda dan memberi hutang itu 18 kali ganda.”
Rasulullah hairan mengapakah memberi hutang itu lebih besar daripada bersedekah, lantas Baginda pun bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu.
Kata Jibril: “Orang yang meminta itu kadang-kadang dia sudah pun mempunyai barang itu, sedangkan orang yang berhutang itu tiada mempunyai apa-apa, maka terpaksa berhutang untuk mendapatkannya atau dengan kata lain dia berhutang kerana benar-benar berhajat.”
Kemudian Rasulullah SAW berjumpa sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih. Di situ ada juga buah delima dan segala macam buah kayu. Kemudian keluar daripadanya pakaian penghuni syurga dan kemudian keluar burung yang bentuknya seperti unta.
Rasulullah SAW terlihat pula telaga Al-Kausar. Dalamnya ada 70,000 fursah yang airnya mengalir di atas batu yakut dan zabarjad. Di tepinya ada lu`lu' yang besar, airnya mengalir masuk ke hudh (kolah) Rasulullah.
Bejananya (timba) seperti bintang di langit dijadikan daripada emas dan perak serta tanahnya daripada kasturi yang amat harum. Kemudian keluarlah Rasulullah SAW dari syurga itu.
Nabi Muhammad SAW kemudian diperlihatkan keadaan neraka. Dalamnya ada ghadaballah (kemarahan Allah) terhadap musuh-Nya dan yang ingkar perintah-Nya. Jika dijatuhkan batu atau besi ke dalam neraka itu, nescaya hancur lebur ia dalamnya.
Tiba-tiba Rasulullah SAW ternampak beberapa kaum memakan bangkai. Bertanya Baginda kepada Jibril: “Siapa ini, wahai Jibril?”
Jawab Jibril: “Inilah mereka yang makan daging saudaranya dengan mengumpat.”
Baginda juga dapat melihat malaikat Malik penjaga pintu neraka, lalu dia memberi salam kepada Rasulullah SAW. Baginda menjawab salam Malik. Malik ialah malaikat yang boleh diketahui kemarahannya menerusi mukanya yang sangat masam.
Sesungguhnya neraka itu terletak di bawah tujuh petala bumi dan mempunyai tujuh jenis.
Rasulullah SAW kemudian diangkat ke Sidaratul Muntaha dan ditutupi awan.
Jibril tertinggal, lalu Rasulullah SAW berhenti menunggu. Di sini Jibril pun memasukkan Baginda ke dalam nur sambil berkata: “Engkau dan Tuhan engkau saja.”
Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda kepada Jibril bermaksud: ”Adakah di sini sahabat hendak meninggalkan sahabatnya?”
Berkata Jibril: “Inilah saja tempatku, jika aku melintasi kawasan ini nescaya terbakar aku dengan nur.”
Rasulullah SAW pun melalui 70,000 hijab daripada nur hingga sampai ke Mustawa, tempat Kalam menulis, yakni Kalam catatan di Luh Mahfuz. Di situ Rasulullah SAW melihat seorang lelaki yang ghaib dalam Nur Arasy.
Bertanya Rasulullah SAW: “Siapa ini? Adakah malaikat?” “Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah nabi?” soal Rasulullah SAW lagi. “Tidak. Sesungguhnya aku seorang lelaki yang hidup di dunia, basah dengan menyebut nama Allah yakni berzikir dan hatiku sentiasa terpaut kepada masjid dan aku juga tidak memaki kedua ibu bapaku.”

No comments:
Post a Comment