Wednesday, August 14, 2013

DOA AGAR MESIR,SYRIA,PALESTIN SERTA NEGARA ISLAM SELAMAT DARI PENGKHIANAT AGAMA


SELAMATKAN MURSI DAN PENGIKUTNYA SERTA BUMI MESIR DENGAN SENJATA DOA

Presiden Mohammed Moursi yang digeruni ramai pemimpin negara2 lain contohnya Syria, Iran dan UAE (Abu Dhabi dan Dubai) , akhirnya telah digulingkan oleh pihak tentera Mesir lewat hari semalam. Pengumuman yang yang disambut sorak riang para penunjuk perasaan ini diumumkan oleh Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi. Penggulingan presiden yang lantang bersuara terhadap kekejaman di Syria ni pastinya membuatkan Bashar Al-Assad tersenyum riang hari ni. (Celaka!) Walau apapun, doa aku agar Allah selamatkan Mesir dan meruntuhkan tembok pimpinan Syria dan sekutunya. Aaminn Ya Rabb.

Dunia sekarang sudah tenat. Jika dulu pemimpin yang zalim digulingkan dan rakyat dahagakan pemimpin yang menegakkan Islam. Tapi sekarang, pemimpin yang menegakkan Islam dan lantang bersuara demi Islam digulingkan. Mass protest yang tiada berkesudahan. Sampai bila mahu begini? JIka Parti A naik memimpin negara, penyokong Parti B membuat mogok. Jika Parti B pula naik memimpin, penyokong Parti A pula membuat mogok. Sampai bila? Sampai bila? Yang aku hairannya, mana penyokong Moursi yang begitu ramai sewaktu pilihanraya Mesir yang lepas? Mana mereka menghilang? Dah tukar ideologi?

Syria pastinya menarik nafas lega setelah Moursi digulingkan. Tapi ingat, Tayyip Erdogan masih ada…



Monday, August 12, 2013

PERSIAPAN SEBELUM BERUMAHTANGGA

 
 
 
 
 
PERSIAPAN SEBELUM BERUMAHTANGGA 
 
Persiapan yang penting ialah :
 
 1) Menuntut ilmu khususnya berkenaan kewanitaan, anak-anak, rumahtangga, seksual, hukum-hakam agama dan kemahiran2 yang dapat memanfaatkan hidup selepas bernikah. 
 
 
 
 2) Menjaga kesihatan dan mencantikkan diri, ramai anak gadis mengadu sukar bernikah kerana menghadapi masalah fizikal tetapi mereka tidak pula menjaga diri, menguruskan badan sedangkan mereka mempunyai masa yang panjang untuk melakukannya.
 
 
 
 3) Meningkatkan amalan ibadah dan taqwa sebagai kekuatan jiwa dan persediaan untuk menghadapi ujian kehidupan berumahtangga kelak. Barakallahulakuma wabarakah alaikuma wajamaa bainakuma fi khair
 
 
 
 

RASULULLAH QUDWAH HASANAH



Nabi Muhammad SAW merupakan makhluk terbaik yang diciptakan Tuhan, diutus buat semua dan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Kewajipan mentaati Nabi Muhammad adalah suatu yang tidak mungkin dapat disangkal oleh seorang Muslim yang beriman. Malah, mencintai Nabi Muhammad merupakan antara kewjiban seorang Muslim yang menjadi tanda keimanannya.

Perjalanan kehidupan Baginda Nabi SAW, tidak pernah sunyi daripada dugaan dan cabaran, penghinaan dan cacian yang dilemparkan oleh kaum musyrikin yang memusuhi Baginda.

Walau apa pun penghinaan dan cacian terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW, sebagai Muslim, kita mengetahui akan hakikat kemuliaan Nabi secara yakin tanpa sebarang keraguan.

Berikutan insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Nakoula Basseley Nakoula, 52 tahun dari California yang menghasilkan sebuah filem berjudul "The Innocence of Muslim" dan dimuat naik di laman sosial Youtube, para pelajar dan mahasiswa Muslim khususnya disarankan untuk memperdalam pengetahuan tentang peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Muslim, kita wajib mempertahankan peribadi Nabi SAW daripada sebarang penghinaan. Walau bagaimanapun, tindakan ganas dan liar yang dilakukan oleh para demonstran dalam siri-siri tunjuk perasaan seluruh dunia sehingga meragut nyawa adalah tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan.

Tindakan terburu-buru yang emosional seperti ini dapat mendatangkan pandangan buruk masyarakat dunia terhadap Muslim dan agama Islam dan membangkitkan fenomena Islamophobia sepertimana firman Allah:  “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”. (Al-An'am: 108)

Sekiranya kita ingin membantah dan melakukan perhimpunan aman, itu tidaklah menjadi masalah. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang dilakukan biarlah bertepatan dengan lunas-lunas syarak dan akhlak Islami.

Umumnya mengetahui penghasilan filem ini merupakan tindakan bodoh seorang pembikin filem yang mempunyai masalah integriti dan terlibat dalam beberapa jenis jenayah. Justeru, selain daripada menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap filem bodoh ini, apa lagi kesan luahan dan tunjuk perasaan kita?

Pastinya Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan ummatnya yang cinta dan kasih kepada Baginda. Namun, jika akhlak tidak terjaga, kebenciaan membara dalam hati dan tindakan luar batas sehingga mendatangkan fitnah kepada agama Islam, apakah semuanya ini akan menggembirakan Nabi Muhammad SAW?

Tanpa menafikan peranan aksi-aksi tunjuk perasaan dan demonstrasi membantah filem ini, penulis berpandangan, masyarakat dunia jangan melupakan pembantaian yang sedang berlaku atas ummat Islam dunia yang sedang merana dan memerlukan bantuan segera.

Tunjuk perasaan dan advokasi membantah pembunuhan bangsa Rohingya di wilayah Arakan, Myanmar, krisis berdarah Syria dan penindasan yang tidak berkesudahan di Palestin, Kashmir, Selatan Thailand dan lain-lain haruslah sentiasa konsisten.

Malah kempen-kempen kemanusiaan dan kutipan dana bantuan untuk mangsa-mangsa krisis kemanusiaan ini wajar terus berjalan dan diperhebatkan.   Sekiranya Nabi Muhammad SAW bersama kita, pastinya Baginda berbangga dengan tindakan ini kerana asas ajaran Baginda Nabi SAW ialah kasih sayang dan saling membantu.

Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia harus bertindak wajar  dan bijak memberi fokus dalam setiap tindakan. Amalkan sunnah dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai manifestasi tanda cinta kasih kita kepada Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

AMALKAN AKHLAK TERPUJI,ANDA DISAYANGI DAN DIHORMATI





30 AKHLAK TERPUJI


1. Berani dalam segala hal yang positif, baik memperkatakan atau membela kebenaran dalam apa juga keadaan.
  2. Adil dalam memutuskan sesuatu tanpa membezakan kedudukan, status sosial ekonomi, mahupun hubungan kekeluargaan.
  3. Bijaksana dalam menghadapi dan memutuskan sesuatu.
  4. Mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.
  5. Pemurah dan suka menafkahkan hartanya, baik pada waktu lapang mahupun susah.
  6. Ikhlas dalam melakukan setiap amal perbuatan semata-mata kerana Allah.
  7. Cepat bertaubat dan meminta ampun kepada Tuhan jika melakukan suatu dosa.
  8. Jujur dan benar.
  9. Tenang dalam menghadapi pelbagai masalah tanpa berkeluh kesah.
  10. Amanah.
  11. Sabar dalam menghadapi setiap cubaan atau melaksanakan kewajiban ibadah dan kebaktian kepada Allah.
  12. Pemaaf.
  13. Penuh kasih sayang dan belas kasih.
  14. Lapang hati dan tidak membalas dendam.
  15. Selalu optimis menghadapi kehidupan dan penuh mengharap kepada Allah.
  16. Menjaga diri dari segala sesuatu yang dapat merosakkan kehormatan dan kesucian diri.
  17. Malu melakukan perbuatan yang tidak baik.
  18. Rendah hati.
  19. Mengutamakan perdamaian daripada permusuhan.
  20. Tidak rakus terhadap kehidupan duniawi.
  21. Reda atas segala ketentuan yang ditetapkan Allah.
  22. Setia terhadap teman, sahabat dan sesiapa saja yang terkait.
  23. Bersyukur atas segala nikmat yang diberikan atau musibah yang dijatuhkan dan berterima kasih kepada sesama umat manusia.
  24. Mengutamakan musyawarah dalam mengambil keputusan.
  25. Bertawakal setelah segala usaha dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
  26. Murah senyuman dan menampilkan wajah yang ceria.
  27. Menghormati dan menghargai orang lain.
  28. Menjauhi sifat iri hati dan dengki.
  29. Rela berkorban demi kepentingan dan kemaslahatan umat manusia dalam membela agama.
  30. Sedia terhina, dihina atau rasa seperti dihina padahal sebenarnya diri dalam penghormatan kerana memahami tidak semua manusia lain ditemui itu juga berakhlak mulia.

Saturday, August 10, 2013

ILMU ADALAH CAHAYA,TIADA ILMU TIADALAH CAHAYA DALAM DIRI

Kepentingan Ilmu Pengetahuan dan Sumbernya Menurut Islam

KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN DAN SUMBERNYA MENURUT ISLAM
 
 
 
 
1. Definisi Ilmu Pengetahuan

Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)

 
Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.
 
 

3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan

Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.

1. Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

2. Pancaindera

Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3. Akal

Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.

4. Intuisi atau Ilham
Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.

Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.
 
 

RUJUKAN 

Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. t.th. Maucizah al-mu`minin min ihya` ulum al-din. t.tp : Maktabah Misr.

Khazali. (tanpa tarikh). Konsep Ilmu. http://khazalii.googlepages.com/udi30521konsepilmu [13 April 2008]

Noraziah Sharuddin. 2002. Forum memori korporat UTM. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia

PUASA 6 DI BULAN SYAWAL,ITS PROPHET SUNNAH



Puasa qada adalah menggantikan puasa yang difardhukan (Ramadhan) sedangkan puasa enam merupakan puasa sunat, jadi keduanya tidak boleh digabungkan. (Begitu juga dengan puasa nazar, tidak boleh disekalikan) Yang paling afdal usahakan mengqada puasa Ramadhan dahulu, kemudian laksanakan puasa sunat enam, bulan Syawal.

Puasa sunat enam syawal boleh dilakukan secara terpisah-pisah (6 hari selang) tetapi jika dilakukan secara berturutan ianya lebih afdhal.
Lafaz Niat puasa sunat enam syawal : “sahaja aku puasa sunat bulan syawal kerana Allah swt “.
Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulullah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ).


Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih. Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.
 

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Puasa Enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
 

Niat puasa ganti / puasa qada' dalam rumi : 
 نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى 
Nawaitu sauma ghodin an’ qada'e fardhu ramadhona lillahi taala 

*sebut qada' - e , macam sebut 'an adae' dalam niat puasa di bulan ramadhan .
 *ramadona - dho adalah huruf dod - sebut d (dengan lidah menyentuh lelangit)

Maksud : Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala

 Wallahualam : Ada baca satu artikel mengenai puasa ganti menyatakan "Jika anda berazam ingin melakukan qadha' puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat. Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat."

PERTUNANGAN DAN MEMILIH JODOH MENURUT ISLAM






1)      PENDAHULUAN
         Allah  SWT telah mencipta makhlukNya dengan  berpasangan termasuklah manusia di mana manusia dari Adam AS.  Kemudian Allah ciptakan daripadanya Siti Hawa AS menjadikan berpasangan  suami isteri sehingga lahirlah keturunan yang ramai terdiri dari lelaki dan perempuan.  Kedua insane yang berlainan jenis ini saling perlu memerlukan  antara satu sama lain justeru itu timbullah bibit-bibit cinta dan perasaan  kasih sayang  ibarat anak kecil  merintih memerlukan belaian ibu yang dikasihi.  Dan seterusnya ingin berkongsi hidup sebagaimana makhluk yang lain yang melata di bumi Allah ini.
         Dalam konteks ini, Islam telah memberi garis panduan bagaimana untuk memilih calon suami dan calon isteri bermula dari pertunangan sehingga ke alam perkahwinan.
2)      PERTUNANGAN
         Peminangan ialah pernyataan atau permintaan dari seorang lelaki kepada pihak perempuan untuk mengahwininya baik dilakukan olehnya sendiri ataupun dengan perantaraan pihak-pihak tertentu yang dipercayai ataupun keluarganya sesuai dengan kehendak Islam.
Ke Arah Pertunangan
        
         Sebelum diadakan peminangan, langkah permulaan ialah memilih pasangan yang akan menjadi calon suami atau isteri mengikut lunas-lunas yang disyariatkan oleh Allah SWT.
3)      MEMILIH LELAKI
         Lelaki yang paling diutamakan ialah lelaki yang soleh yang mempunyai pendidikan  agama yang sempurna serta berpegang teguh dengan ajaran Islam.  Di mana melalui panduan  agama, seorang suami itu berwajiban menggauli isterinya dengan baik dan  memberi nafkah sesuai dengan tuntutan Islam.
         Firman Allah Taala dalam surah An-Nisaa’ ayat 34: Maksudnya :
         “Lelaki itu pemimpin yang bertanggungjawab atas kaum wanita dan kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana telah membelanjakan  harta mereka”.
         Dalam ayat di atas jelas bahawa  suami mempunyai kekuasaan terhadap isteri di mana isteri hanya membantu suami dalam urusan rumahtangga.  Lelaki yang benar-benar dapat mengendalikan kewajiban seorang suami mestilah berupaya menjadi ketua keluarga yang bertugas memimpin, mendidik dan memberi kasih sayang terhadap rumahtangga.
         Di antara faktor penting dalam mengutamakan agama yang disarankan oleh Islam ialah :-
         1.   Mempunyai akidah yang sempurna dan kefahaman agama yang kukuh serta praktikal.
2.      Melaksanakan syariat Islam  berdasarkan prinsip yang berterusan.
3.     Mengamalkan sikap kesederhanaan dalam hidupnya.
4.      Mengetahui besarnya ganjaran nafkah di dalam rumahtangga.
         Selain dari itu wajar bagi lelaki seorang yang tajam fikirannya, bijak menyelesaikan masalah, mempunyai sifat-sifat yang mulia,  seorang yang penyayang, suka memberi dan menerima, bertolak ansur dan mengambil berat terhadap keluarganya.
         Walau bagaimanapun, sebagai kaum lelaki sudah masanya dari sekarang melengkapkan diri dengan mencari dan mempelajari ilmu Islam sebanyak mungkin untuk persediaan di hari muka.  Oleh itu, ingatlah bahawa kaum wanita pada hari ini sudah mengerti memilih calonnya di mana bukan sahaja lelaki yang kacak malahan  bijak pula dalam selok belok agama yang sememangnya layak menjadi suami.
4)      MEMILIH PEREMPUAN
         Di antara garis panduan memilih calon isteri yang dianjurkan oleh Islam ialah supaya pemilihan yang dibuat benar-benar dapat menjamin kerukunan rumahtangga dan dapat menjadi aman damai serta diberkati Allah sepanjang masa.


         Aspek yang utama ditinjau dari hadis Rasulullah SAW ialah dengan sabdanya, maksudnya :
         Dikahwini perempuan (dijadikan isteri) itu kerana  empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya.  Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidup kamu…”
         Di antara yang disunatkan dan digalakkan memilih perempuan untuk dipinang ialah :
         a.   Zuriat yang banyak
               Memilih perempuan yang boleh mendatangkan zuriat yang banyak memanglah digalakkan oleh Islam.  Di sini boleh diperhatikan dari sudut keluarganya (keturunannya) di samping kesuburan tubuh badan  di mana tidak menghalang  ianya hamil.  Selain itu, umur juga boleh diambil kira bagi mengekalkan zuriat yang banyak.
b.     Anak gadis / bujang
Pemilihan anak gadis amat dititik beratkan kerana di mana usia gadis, kurang bebanan peribadi.  Segalanya-galanya serba baru, dapat mengeratkan kasih sayang tanpa gangguan.  Tenaga yang masih muda dapat memberi sepenuh masa untuk suami.  Walau bagaimanapun, memilih seorang janda juga digalakkan sekiranya di sana ada tujuan yang baik untuk memilihnya.
c.     Sedikit mas kahwin
Perempuan yang menjadi pilihan adalah sedikit belanja mas kahwinnya di mana mudah bagi pihak lelaki menjelaskannya dan sesuai dengan tuntutan Islam.  Sekiranya terlalu besar mas kahwin itu, bukan sahaja menjadi keberatan bagi lelaki malah boleh memberi kesan yang negatif di masa akan datang.
d.     Bukan hubungan keluarga
Pemilihan ini bagi meluaskan skop keturunan di mana keluarga akan bertambah ramai lagi dan mental sesebuah keluarga itu boleh mempengaruhi hidup.  Lebih-lebih lagi perhubungan sebuah keluarga dengan  keluarga dalam menemukan jodoh.
e. Baligh
    Memilih perempuan biarlah ianya sudah cukup umur (baligh) di mana dapat memahami ertu perkahwinan, berfikir secara orang dewasa, kurang memberi tunjuk ajar, tidak  mudah merajuk dan juga boleh hamil.
f.  Akal yang sempurna
    Memilih akal yang sempurna ialah berfikir  secara seorang  muslim yang soleh, gemar membaca Al-Quran serta memahaminya,  mengetahui hala dan haram, banyak bersabar, bertindak dengan adil dan juga menghormati hak dirinya dan hak orang lain.
g.    Sesuai (kufu)
Persesuaian  adalah diperlukan untuk memilih pasangan hidup lebih-lebih lagi dalam dunia moden ini di mana wanita mempunyai kedudukan yang agak  sama dengan kaum lelaki malah terdapat lebih dari lelaki.  Hal ini kadangkala menjadi isu besar di kalangan ibu dan bapa hari ini,   kononya anak perempuannya tidak sesuai berkahwin.  Tetapi dalam masa yang sama  juga mereka  telah keluar dan bebas bergaul tanpa dilarang oleh ibubapanya.
         Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 235, ertinya :
         “Tidak berdosa meminang perempuan  (yang dalam  idah lagi dengan kata sindirian)”
         Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, maksudnya:
“Apabila seorang dari kamu meminang perempuan, sekiranya dia dapat lihat perempuan itu hendaklah dia melihatnya sehingga bertambah keinginan kepada perkahwinan”.
         Sebelum meminang, seorang lelaki harus melihat perempuan yang akan dipinang pada muka dan dua tapak tangan sahaja.  Dan begitu juga sebaliknya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya agar kedua-duanya dapat  menepati kehendak dan maksud masing-masing.
         Menurut pendapat jumhur ulamak, melihat pada perempuan dengan tujuan meminang hanya tertentu pada muka dan dua tapak  tangannya.  Kerana dengan melihat muka  dapat diketahui kecantikan raut muka serta  paras rupa untuk calon isteri atau sebaliknya.  Sementara melihat kedua tapak tangan bertujuan supaya dapat mengetahui kesuburan badan.
         Sabda Rasulullah SAW, ertinya :
         “Apabila salah seorang daripada kamu meminang  perempuan maka tidak berdosa  atasnya melihat perempuan itu asalkan sahaja semata-mata untuk meminangnya sekalipun dia tidak mengetahui”.
         Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya yang  bernama Mughirah bin Syukbah, sabdanya bermaksud :
         “Lihat dahulu perempuan itu maka melihatnya adalah pokok utama bagi suami isteri hidup dalam aman damai”
         Keharusan pihak lelaki boleh melihat  perempuan yang akan dipinang pada anggota-anggota  yang telah disebutkan sebelum  ini walaupun dengan tanpa  keredhaannya, dan  sebaik-baiknya  kehadiran pihak lelaki itu hendaknyalah waktu melihat  itu dilakukan sebelum meminang,  Ini kerana  seandainya ia tidak secucuk di hati pihak lelaki dengan sebab-sebab  yang tertentu bolehlah ia mengundurkan diri tanpa akan menyakitinya.
         Jika kedapatan pihak lelaki tidak berupaya melihat perempuan yang akan dipinang oleh sesuatu sebab, maka bolehlah ia mengutuskan orang tertentu  yang dipercayai  sebagai perantaraan  untuk pergi melihatnya.  Ini supaya orang tadi menerangkan  sifat-sifat peribadi serta keadaan  perempuan itu yang mana bertujuan untuk mengahwininya.
         Kedapatan beberapa perkara yang amat diambil  berat oleh syarak dalam soal pinang meminang iaitu :
a.      Peminangan tidak boleh dilakukan kepada wanita yang dipinang oleh seseorang melainkan ianya telah melepaskan  hak peminangannya.
         Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, maksudnya :
         “Orang muslim adalah saudara orang mukmin, maka tidak halal bagi seorang mukmin meminang  seorang perempuan yang sedang dipinang oleh saudaranya hingga nyata sudah ditinggalkan”.
         Sabda Nabi SAW, maksudnya :
         “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. Maka sesungguhnya orang  yang ketiga bersama dengannya ialah syaitan kecuali bersama mahram.”
b.      Haram  seorang lelaki meminang dengan cara terus terang seorang perempuan yang di dalam eddah sama ada       raj’i atau bain atau eddah wafat.  Dan haram meminang  cara sindiran perempuan yang di dalam eddah raj’i, dan  dibolehkan meminang  secara sindiran perempuan yang di dalam eddah wafat tanpa khilaf dan diharuskan juga meminang perempuan yang dalam eddah bain sama ada  disebabkan perceraian atau fasakh menurut pendapat yang terkuat dari pendapat Imam Syafie.
         Contoh ayat Sareh :
         “Apabila telah habis eddahmu, aku akan berkahwin dengan kamu”.
         Contoh ayat Kinayah :
        
         “Kamu ini cantik, banyak lelaki inginkan kamu”.
c.      Wanita yang akan dipinang bukan mahramnya yang mana dilarang dalam perkahwinan.
         Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :
         “Lihatlah dia (bakal tunangan) dengan ini akan lebih menguatkan (mengeratkan) perhubungan kamu berdua”.


         Perlu diingat walaupun Islam mengharuskan  melihat perempuan ajnabi dengan tujuan meminang tetapi janganlah ia mengambil peluang untuk memuaskan perasaan atau hawa nafsunya.  Malahan menjadi haram semula sekiranya hajat melihatnya itu sudah mencukupi atau langkah peminangan.
5)      TUJUAN PERTUNANGAN
Di antara tujuan pertunangan ialah :
         1.   Persetujuan    mengikut janji untuk perkahwinan.
2.     Untuk menghebahkan kepada masyarakat sekeliling.
3.     Supaya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara keluarga kedua belah pihak.
4.     Hendak melahirkan sikap jimat cermat dan membentuk ciri-ciri kejujuran serta keyakinan diri.
5.     Untuk menentukan kadar mahar (mas kahwin) dan lain-lain pemberian.
6.     Untuk  menentukan tarikh,  tempat dan hari perkahwinan yang dipersetujui.
7.     Persediaan mempelajari hukum perkahwinan sebelum mendirikan rumahtangga.
         Sayugia bahawa perempuan yang paling baik menjadi bakal isteri  yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya, maksudnya:
         Sebaik-baik perempuan (isteri) apabila kamu menatapinya menyeronokkan hati kamu(suami), apabila disuruh oleh kamu dia mentaati suruhan dan apabila kamu tiada dia sentiasa menjaga dirinya dan harta kamu”.
         Wajar juga wanita yang bijak mengatur rumahtangga, berjimat cermat, rajin dan pandai  menyimpan, tambahan pula dapat melapangkan dada suami, semua ini diambil kira di dalam memilih jodoh.
6)      CARA MEMINANG
1.    Memulai  majlis meminang dengan  bertahmid.
2.    Sendiri atau melalui orang lain, jika ada waris keluarga lebih baik  supaya mereka yang bertandang untuk meminang.
3.    Pemberian sebagai adat tanda jadi ikatan pertunangan boleh  diterima asal tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
4.    Bersetuju menerima pinangan di antara kedua belah pihak dengan janji tertentu dan tidak memakan  masa yang lama.
5.    Wakil yang  adil menyampaikan hajat pinang mengikut adat kelaziman negara itu sama ada melalui sareh atau kinayah.
6.    Segala persetujuan hendaklah disaksikan atau ditulis.
         Walaupun  setelah pertunangan antara pihak lelaki dan pihak perempuan dimeteraikan melalui istiadat perminangan oleh kedua belah pihak keluarga, akan tetapi perhubungan di antara mereka tetap dianggap seperti hubungan ajnabi dengan ajnabiah yang lain.
Maka sewajarnyalah sama-sama menjaga suasana perhubungan  itu dengan baik agar tidak  bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam yang maha suci.

Al Quran (Baca,Dengar,Faham,Hafaz

Listen to Quran

CIRI WANITA SOLEHAH

“ Dan pakaian taqwa itulah yang terbaik”

Wanita yang meletakkan perkara ini di dalam kehidupannya, melapisi diri dengan pakaian langit ini, maka itulah wanta solehah. Lenggok jalannya berlainan, senyum tawanya istimewa, lancer katanya menawan, melihat wajahnya sahaja menggembirakan. Inilah wanita yang terbaik berjalan di atas muka bumi.

“Sebaik-baik wanita adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Rasulullah, Maryam binti Imran dan Asiyah isteri Firaun”

Maka petunjuk telah diturunkan. Siapakah wanita di dunia ini yang ingin mencontohi keperibadian Khadijah, perjuangan Fatimah, ketabahan Maryam dan kesabaran Asiyah. Wanita solehah hakikatnya amat mengagumkan. Kecintaannya, ketaatannya, kebaikannya, keluhurannya amat menyenangkan hati. Siapakah yang akan mengikuti jejak Khansa? Siapa pula yang akan meneladani si mujahidah Khaulah? Siapa pula hendak membuntuti teladan seorang wanita ansar yang menyatakan kepada Rasulullah kata-kata yang mengharukan sebaik sahaja Rasulullah tiba di Madinah selepas pertarungan yang dasyat di Uhud.

“ Ya Rasulullah, segala kesusahan dan kepayahan itu hilang sebaik sahaja melihat wajahmu”

Sedangkan sebelumnya dia dimaklumkan bahawa Ayahnya, suaminya, pakciknya, abangnya, anaknya telah gugur syahid di dalam medan Uhud yang menggemparkan. Dia tetap teguh dengan keyakinan bahawa bahagia itu hanya terletak pada ALLAH dan Rasulullah. Wanita solehah sememangnya idaman semua lelaki yang mencintai ALLAH dan hidup untuk mendapat redhaNya.

“ Wanita itu dikahwini kerana empat perkara, hartanya, baik keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilih dan kahwinilah yang elok agamanya”