
Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :
“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”
Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”
Dengan itu akh muslim dapat memahami slogan yang sering dilaungkan :
“Allah matlamat kami, Allah maha besar, bagi Allah segala pujian.”
Keterangan
Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang boleh dihimpunkan dalam : “Melakukan amalan bukan kerana Allah.”
Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”
Rukun Bagi Amalan Yang Diterima
Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika memenuhi dua rukun tersebut iaitu :
pertama : ikhlas
kedua : bertepatan dengan sunnah dan syara’
Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”
“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia adalah tertolak.”
Allah Taala telah menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 22 yang bermaksud :
“Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam dua keadaan dia berbuat baik, sesungguhnya dia telah berpegang pada ikatan yang teguh.”
Menyerah diri kepada Allah adalah mengikhlaskan niat dan beramal kerana-Nya. Membuat baik pula adalah mengikut sunnah Rasulullah saw. Fudhail bin ‘Iyadh berkata tentang firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :
“Supaya dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”
“Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”
Kemudian Fudhail membaca firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud :
“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”
Dari perkara di atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan sunnah dan syara’. Begitu juga amalan yang menepati syara’ tetapi tidak disertai dengan niat yang ikhlas kepada Allah tidak akan diterima.
Tanda-tanda Ikhlas
Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :
1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata :“Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”
Salim bin Hanzalah berkata :
“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti. Ubai berkata : ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu lakukan?’ Umar menjawab : ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.”
Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.
Al Hassan berkata :
“Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata : ‘Mengapa kamu semua mengikut aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”
Al-Hassan berkata :
“Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”
Ayyub As Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata :
“Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”
Ibnu Mas’ud berkata :
“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”
Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata :
“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”
Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah kepada masyarakat.
Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.
Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al Ghazali :
“Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”
2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :
“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.”
At Tirmizi meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :
“Aisyah, isteri Nabi saw berkata : ‘ aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al Mukminin : 60) yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”
Aisyah berkata : ‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab : ‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan.”
3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”
4. Sama sahaja di sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang bermaksud :
“Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”
Semoga Allah meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah ataupun menyesal.

No comments:
Post a Comment